Translate

Wednesday, February 4, 2026

‘Saya mahu jumpa Faiq’


Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI 

KUALA TERENGGANU – Bapa Muhammad Faiq Zahrin Mohd. Jailani, 23, (gambar kecil), yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan mahu berjumpa dengan anaknya itu yang hilang tanpa berita sejak ditahan di Jepun pada November tahun lalu. 

Mohd. Jailani Ambak, 52, berkata, dia bercadang berlepas ke negara Matahari Terbit itu dalam masa terdekat untuk bertemu sendiri anaknya.

Katanya, berdasarkan perancangan asal sebelum ini, dia mewakilkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun ke Jepun untuk menguruskan kes anaknya itu. 

“Yang Berhormat (Hilmi) sepatutnya dijadual berlepas ke Jepun pada 2 Februari ini (esok) bagi mendapatkan bantuan kes anak saya (Muhammad Faiq Zahrin).

“Bagaimanapun, kenalan yang berada di Jepun meminta saya sendiri sebagai waris pergi ke sana agar urusan menjadi lebih mudah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam. 

Menurutnya, usaha pembebasan anaknya itu banyak dibantu sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO), Afiz Ayub, yang kini berada di Jepun. 

“Beliau (Afiz) memberitahu sudah mengunjungi beberapa balai polis di Jepun untuk mendapatkan maklumat mengenai anak saya, namun setakat ini usaha masih belum berhasil. 

“Saya kini seakan orang yang hampir lemas, sesiapa saja yang hulur tangan saya akan terima. Saya cuma mahu anak saya kembali ke pangkuan keluarga. Itu sahaja,” katanya. 

Sementara itu, Afiz berkata, pihaknya masih gagal untuk menemui Muhammad Faiq Zahrin biarpun sudah mengunjungi tiga balai polis di Jepun selain berjumpa peguam yang dikatakan akan mewakili pemuda itu secara pro bono (percuma).

Katanya, pihak berkuasa Jepun seakan-akan enggan melayan NGO yang tidak dikenali oleh Muhammad Faiq Zahrin. 

“Mereka (pihak berkuasa Jepun) mencadangkan agar waris Muhammad Faiq Zahrin sendiri dipanggil ke negara itu bagi memudahkan urusan. 

“Tanpa waris yang mangsa kenal, usaha untuk menemui pemuda itu akan menjadi sia-sia dan tidak dilayan,” katanya dalam hantaran di akaun Facebooknya semalam. 

Sehubungan itu, Afiz mencadangkan Mohd. Jailani terbang ke Jepun pada masa terdekat. 

Beliau menegaskan, penemuan dengan pemuda tersebut penting bagi membolehkan dia diwakili peguam lebih baik sepanjang perbicaraan. 

“Berdasarkan perbincangan dengan peguam pro bono terlibat, beliau seakan mahu mangsa mengaku salah sahaja. 

“Akibatnya pemuda itu mungkin akan dihukum penjara di antara 10 tahun hingga 20 tahun oleh mahkamah,” katanya. 

Afiz berkata, Muhammad Faiq Zahrin kini ditahan reman selama 20 hari sebelum dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.

Beliau berkata, kebiasaannya tempoh perbicaraan di mahkamah Jepun mengambil tempoh maksimum 60 hari untuk diselesaikan. 

Kosmo! pada 24 Januari lalu melaporkan, seorang graduan politeknik hilang sejak November tahun lalu dan dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas ditahan pihak polis di Jepun kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan telefon. 

Muhammad Faiq Zafran dipercayai dieksploitasi sindiket penipuan sebelum ditahan di Toyama Minami Police Station, Jepun dengan rampasan wang dianggarkan berjumlah kira-kira empat juta yen (RM101,400). 

Mangsa dipercayai direkrut oleh individu yang dikenalinya untuk bekerja di luar negara sebelum dibawa ke Jepun. 

Muhammad Faiq Zafran merupakan bekas pelajar sekolah berasrama penuh dan menamatkan pengajian diploma di sebuah politeknik di Perlis pada September 2025 sebelum memaklumkan kepada keluarga mahu mencari pekerjaan di Kuala Lumpur pada November tahun lalu. 

Tidak lama selepas itu, keluarga dimaklumkan bahawa mangsa berada di Jepun dan sejak 19 November 2025 tidak lagi dapat dihubungi. 

Muhammad Faiq Zafran dipercayai telah diberikan tugas sebagai transporter untuk mengambil duit sebanyak empat juta yen dan jongkong emas bernilai 11 juta yen di sebuah rumah seorang penduduk warga emas di Jepun. 

Sebelum itu, sindiket penipuan telefon telah memperdaya warga emas Jepun itu dan mendakwa akan menghantar ‘polis’ bagi mengambil hartanya. 

Bagaimanapun, mangsa telah menghubungi polis Jepun dan pihak berkuasa di sana telah bersedia untuk membuat tangkapan. 

Muhammad Faiq Zafran yang dihantar sindiket akhirnya telah ditangkap di lokasi tersebut ketika memegang duit tersebut.

No comments:

Post a Comment