Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Kadar perceraian pasangan beragama Islam di negeri ini meningkat 36 peratus apabila sebanyak 3,810 kes direkodkan tahun lalu berbanding 2,798 kes pada 2024.
Ahli Dewan Undangan Negeri Ladang, Zuraida Mohd. Noor berkata, kadar perceraian yang berlaku tahun lalu merupakan yang tertinggi di Terengganu dalam tempoh tujuh tahun.
Katanya, sebagai perbandingan, hanya 1,803 kes pencerai an direkodkan bagi pasangan Muslim pada 2023 di negeri ini.
“Data Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut meletakkan Terengganu dalam kelompok lapan negeri tertinggi (penceraian) bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu.
“Ini bukan sekadar angka statistik, tetapi amaran kepada krisis sosial,” katanya ketika membahaskan titah Pemangku Raja Terengganu pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini semalam.
Katanya, majoriti pasangan bercerai adalah golongan muda dengan tempoh perkahwinan bawah 10 tahun.
Kebanyakan perceraian berlaku disebabkan tekanan ekonomi, kegagalan komunikasi dan ketidakstabilan emosi.
“Peningkatan kadar perceraian ini merupakan petunjuk awal krisis sosial yang perlu ditangani segera kerajaan negeri. Saya mencadangkan langkah intervensi strategik diambil bagi menangani masalah tersebut,” katanya.
Zuraida berkata, ia meliputi pendekatan memperkukuh ekonomi pasangan muda, mewajibkan pendidikan pengurusan kewangan serta menambah baik modul kursus praperkahwinan agar lebih praktikal.

No comments:
Post a Comment