Oleh MOHD. AZLI ADLAN
DUNGUN – Program Ulul Albab di semua 58 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara sejak dua tahun lalu akan terus diperkasa bagi melahirkan pelajar keluaran institusi tersebut yang seimbang intelek dan rohani.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, program khatam dan huffaz al-Quran tersebut telah mula menunjukkan hasil dengan 221 pelajar terlibat mencapai keputusan cemerlang semua A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
“Kita boleh melihat perbezaan kualiti pelajar (MRSM) sekarang, mereka mempunyai keseimbangan intelektual dan spiritual.
“Keputusan SPM lalu mencerminkan kerja kuat kita semua. Lima MRSM berada dalam kelompok lima teratas sekolah terbaik negara,” katanya ketika merasmikan MRSM Dungun di sini semalam.
Lima MRSM terbabit ialah Tun Ghafar Baba, Pengkalan Chepa, Taiping, Gemencheh dan Kuala Kubu Bharu.
Ahmad Zahid berkata, tambah membanggakan, MRSM Tun Ghafar Baba muncul sebagai sekolah terbaik negara dengan 85 calon memperolehi semua A+.
Beliau berkata, beberapa MRSM Ulul Albab seperti MRSM ATM Bera dan Bagan Datuk turut berjaya menempatkan diri dalam kelompok 15 terbaik negara biarpun masih baharu dibuka.
“Sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian ini, Mara telah menyalurkan insentif sebanyak RM100,000 kepada setiap lima MRSM yang telah menunjukkan kecemerlangan SPM.
“Saya juga berbesar hati mengumumkan kelulusan tambahan sebanyak RM650,000 kepada MRSM Tun Ghafar Baba bagi tujuan baik pulih infrastruktur dan fasiliti maktab,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, MRSM juga akan memberi keutamaan terhadap pengukuhan kualiti akademik dan penguasaan bidang strategik masa depan khususnya dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, kecerdasan buatan, teknologi digital dan inovasi.
Beliau berkata, selain kerjasama strategik dengan alumni, industri, universiti dan rakan antarabangsa akan diperluas demi kebaikan pelajar MRSM.
“Saya tidak mahu pelajar MRSM bukan hanya berbangga dapat banyak A (dalam SPM), tetapi yakin, petah dan bersedia tidak kekok apabila berdepan dengan situasi sebenar, sama ada dalam temu duga, perbincangan atau cabaran,” katanya.
Untuk rekod, seramai 7,636 calon daripada 57 MRSM di seluruh negara memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2025 yang diumumkan baru-baru ini.

No comments:
Post a Comment