Translate

Saturday, September 15, 2018

UMNO hadir Muktamar Pas sebagai pembangkang

KUALA NERUS – Penyertaan kepimpinan UMNO pada Muktamar Tahunan Pas Pusat 2018 pada Sabtu ini tidak perlu dipolemikkan kerana jemputan dibuat atas kapasiti parti politik tersebut sebagai pembangkang.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sudah menjadi rutin Pas untuk menjemput parti-parti pembangkang negara ini untuk menghadiri setiap kali muktamar tahunan di­adakan.

“Bukan perkara baharu, kita (Pas) menjemput parti pembangkang untuk menghadiri muktamar tahunan. Dulu sewaktu menyertai Pakatan Rakyat, Pas juga pernah menjemput DAP dan PKR (Parti Keadilan Rakyat).

“Kini kita menjemput UMNO, MCA, MIC dan lain-lain kerana parti-parti politik itu sudah menjadi pembangkang,” katanya selepas meninjau persiapan Muktamar Tahunan Pas Pusat di Stadium Tertutup Gong Badak di sini semalam.

Takiyuddin memberitahu, setakat ini hanya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengesahkan kehadiran bersama 10 perwakilan dari biro politik parti itu.

Menurut beliau, selain itu muktamar tahunan yang akan diadakan tersebut juga akan dihadiri oleh wakil kedutaan asing, wakil badan bukan kerajaan berteraskan Islam dan perwakilan Pas luar negara.

“Buat masa ini, perwakilan Pas luar negara dari Ireland telah mengesahkan penyertaan dan mereka akan diberi pe­luang untuk menyampaikan ucapan,” katanya.

Kira-kira 1,200 perwakilan Pas dijangka hadir pada Muktamar Tahunan Pas Pusat 2018 yang berlangsung selama tiga hari.

No comments:

Post a Comment