Translate

Saturday, September 15, 2018

Pas sedia bertanding PRK Port Dickson jika UMNO tidak letak calon

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Pas bersedia untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bagi menentang bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya parti-parti pembangkang lain termasuk UMNO tidak meletakkan calon.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kesediaan untuk menukar pendirian tidak bertanding pada PRK berkenaan yang telah dibuat sebelum ini bertujuan agar Anwar yang juga bakal Perdana Menteri kelapan tidak diberi laluan mudah.

"Kita tidak mahu bagi (kemenangan) percuma. Kalau tiada orang bertanding, Pas boleh bertanding.

"Menang kalah itu cerita lain, sekurang-kurangnya kita (parti-parti pembangkang) boleh mengadakan latihan bersama menghadapi pilihan raya sebagai persediaan PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15)," katanya selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.

Turut hadir Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.


Abdul Hadi berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan UMNO tidak meletakkan calon untuk mencabar Anwar memandangkan parti masih belum bermesyuarat berhubung PRK Parlimen Port Dickson berkenaan setakat ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment