Translate

Saturday, September 8, 2018

Saenchai sertai Cabaran Muay Antarabangsa DSPEX Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PEMINAT sukan Muay Thai tempatan berpeluang menyaksikan kelincahan bekas juara dunia, Saenchai atau nama sebenarnya Suphachai Saenpong, 38, dalam Cabaran Muay Antarabangsa DSPEX Terengganu pada 5 Oktober depan.

Pengerusi jawatankuasa pe­nganjur, Mohd. Azmi Deraman berkata, kejohanan anjuran Kelab Muay Thai Kubang Jela dengan kerjasama Persatuan Muay Thai Terengganu itu bakal diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu bermula pukul 8.30 malam hingga 12 tengah malam.

“Ini kali kedua Saenchai yang kini berada di ranking No. 2 dunia berkunjung ke negara ini selepas kali pertama pada kejohanan Muay Thai di Kuala Lumpur tahun 2015.

“Saenchai yang merupakan anak jati Thailand akan bertarung dengan seorang petinju Muay Thai kelahiran Korea Selatan, Kim yang sedang me­ningkat naik pada Cabaran Muay Antarabangsa DSPEX nanti,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan DSPEX Trading, Kamarrudin Ibrahim yang merupakan penaja utama kejohanan Muay Thai berkenaan.
Mohd. Azmi berkata, Kim atau nama sebenarnya Kim Donghwan, 27, yang baru memenangi World Title Super Four Championship di Hong Kong minggu lalu pasti memberi saingan sengit kepada Saenchai.

Menurutnya, kejohanan yang dijangka dihadiri lebih 5,000 peminat Muay Thai di seluruh negara itu turut menampilkan dua petinju Muay Thai profesional iaitu Petsangnuan dari Thailand dan Luke (Wales).

Mohd. Azmi berkata, orang ramai yang berminat menyaksikan Cabaran Muay Antarabangsa DSPEX boleh mendapatkan berharga RM70 termasuk baju-T  selain peluang memenangi cabutan bertuah.

Maklumat lanjut kejohanan dan penjualan tiket boleh merujuk laman Facebook, DSPEX International Muay Challenge Terengganu 2018 atau menghubungi talian 019-996 5327.

No comments:

Post a Comment