Translate

Sunday, September 9, 2018

Perak layak raih tiga mata di Terengganu – Durakovic

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Perak lega berjaya menewaskan Terengganu FC I (TFC I) dengan keputusan 2-1 pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Kemenangan berharga itu membolehkan skuad The Bos Gaurus me­ngiringi tuan rumah untuk menempah slot ke suku akhir Piala Malaysia dalam Kumpulan A dengan berbaki satu perlawanan.

Pengendali Perak, Mehmed Durakovic berkata, beliau bangga dengan aksi yang memberangsangkan anak-anak buahnya dalam tempoh 90 minit permainan, sekali gus melayakkan diri ke saingan suku akhir Piala Malaysia.

“Kami layak untuk mengutip tiga mata penuh pada aksi ini. Saya gembira kerana semua posisi daripada pertahanan hingga jentera serangan skuad Perak beraksi cemerlang malam ini (kelmarin) walaupun hanya dua pemain import (Gilmar Jose Da Silva dan Leandro Dos Santos) diturunkan.

“Pemain-pemain tempatan turut membuktikan mereka berjaya memainkan peranan mantap hingga membawa kepada kejayaan menewaskan TFC I,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Pada aksi tersebut, Gilmar Da Silva cemerlang meledak dua gol pada minit ke-21 dan 86, manakala gol sagu hati TFC I dijaringkan oleh pemain gantian, Mohd. Ashari Samsudin pada minit ke-65.

No comments:

Post a Comment