Translate

Saturday, September 1, 2018

Seluruh negara tunjukkan perpaduan

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kebangsaan 2018 dimeriahkan dengan kehadiran rakyat pelbagai kaum yang menunjukkan semangat sayangkan Malaysia di lokasi-lokasi sambutan di seluruh negara semalam.

Di Ipoh, Perak, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyertai lebih 15,000 rakyat pelbagai kaum meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat ne­geri di hadapan Dewan Bandaran Ipoh.

Sebanyak 107 kontinjen melibatkan 5,703 peserta pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam dan badan bukan kerajaan menyertai acara perbarisan serta perarakan.

Di Alor Setar, Kedah, sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat ne­geri berlangsung meriah de­ngan kehadiran lebih 5,000 pengunjung di Dataran Medan Bandar.

Sambutan bermula sejurus keberangkatan tiba Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff pada pukul 9 pagi.

Di Kuantan, Pahang, sambutan Hari Kebangsaan di Padang Maj­lis Perbandaran Kuantan 1 di­sambut meriah dengan kehadiran Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah serta kira-kira 15,000 rakyat.
Perarakan kali ini menampilkan kenderaan perisai Angkatan Tentera Malaysia termasuk jenis PT91 Pendekar selain enam pesawat Sukhoi SU-30MKM dari 11 Skuadron Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu.

Di Kuala Terengganu, Terengganu, hampir 5,000 orang memenuhi Dataran Batu Burok seawal pukul 7.30 pagi untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2018 yang dihadiri Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan.

Di Muar, Johor, lebih 5,000 pengunjung hadir sejak pukul 6.30 pagi bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Tanjung Emas.

Sebanyak 132 kontinjen menyer­tai perbarisan yang turut mempamerkan aset milik pasukan keselamatan negara serta perarakan kenderaan oleh Kelab Kereta Mewah dan motosikal antik.

Di Pasir Mas, Kelantan,  acara sambutan mempamerkan kelainan dengan persembahan gendang 24 musim oleh 24 pelajar yang memukau para penonton pada sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri di Mini Stadium Pasir Mas.

Selain itu, ketangkasan 61 anggota tentera daripada Kor Polis Tentera Briged Kelapan Infantri dalam aksi tempur tanpa senjata turut mengagumkan hadirin.

Sebanyak 62 kontinjen dengan 2,500 peserta mengambil bahagian memeriahkan perarakan sambutan tersebut.

Di Shah Alam, Selangor, sambutan Hari Kebangsaan peringkat ne­geri pula dianjurkan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam de­ngan kehadiran kira-kira 10,000 orang malam kelmarin.

Sambutan yang dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari itu dimulakan dengan persembahan tarian yang menggabungkan tarian tradisional tiga kaum terbesar negara, Melayu, Cina dan India.

No comments:

Post a Comment