Oleh AZLI ADLAN, IZYAN LIYANA MOHD. DARIF dan NORAINI HASSAN BASRI
KUALA LUMPUR – Hari pertama pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) semalam menyaksikan kebanyakan barang tidak mengalami peningkatan harga.
Selain itu, masih ada peniaga menjual barang stok lama yang diperoleh semasa tempoh sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sejak tiga bulan lalu.
Penawaran diskaun bagi barang-barang terpilih juga menyebabkan pengguna belum merasai perubahan harga.
Tinjauan Kosmo! di pasar raya Tesco Extra Ampang, AEON AU2 dan Giant Setiawangsa mendapati terdapat potongan harga barang untuk tempoh tertentu ditawarkan kepada pengguna sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Menurut seorang pelanggan, Rozana Raman, 50, dua mengakui belum dapat membezakan kenaikan harga barang ekoran jualan harga promosi yang diberikan oleh pasar raya.
Kata beliau, tempoh sifar GST sejak tiga bulan lalu memang memberi kelegaan kerana menyaksikan penurunan harga barang.
"Saya akan datang kembali berbelanja selepas promosi tamat untuk meninjau perbezaan," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Tesco Extra Ampang di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan pelaksaan SST yang bermula semalam bakal menyaksikan cuma 5,612 barang dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus dan 793 barang dikenakan cukai perkhidmatan enam peratus.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Norhaizad Abd. Aziz, 55, pula berkata, dia berharap pelaksaan SST tidak akan membebankan pengguna terutamanya berhubung sikap peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang.
Dalam pada itu, rangkaian restoran makanan segera, McDonald's semalam pula mula mengenakan caj enam peratus bagi cukai perkhidmatan kea atas semua pelanggannya.
Di Sabah, tinjauan di sebuah pasar raya dan Pasar Besar Kota Kinabalu mendapati beberapa jenis produk masih dijual pada harga sama sebelum pelaksanaan SST.
Misalnya, pada 29 Ogos lalu, pek Milo seberat 200 gram (g) dijual pada harga RM4.52 sepeket dan semalam harganya masih sama.
Ini termasuk harga Horlicks 440g (RM14.05), Marjerin Daisy 240 g (RM4.24), kicap Manis Adabi 660 g (RM7.45) dan santan segara kekal dijual pada harga RM9 sekilogram.
Di Kuala Terengganu, tinjauan di beberapa pasar raya di bandar raya ini dan Kuala Nerus mendapati harga barang tidak menunjukkan perubahan ketara.
Bagaimanapun, difahamkan harga jualan dijangka mengalami perubahan apabila stok baharu diterima dari kilang minggu hadapan.
No comments:
Post a Comment