Translate

Wednesday, September 5, 2018

Lesbian Terengganu disebat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua wanita yang didapati bersalah atas pertuduhan cuba melakukan hubungan sejenis menjadi pesalah pertama di Terengganu yang menjalani hukuman sebat secara terbuka di dalam kamar Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.

Kedua-dua pesalah berusia 32 dan 22 tahun tersebut menjalani hukuman sebat sebanyak enam kali di hadapan Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail; Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. dan Hakim Kanan Syarie negeri, Rosdi Haru mengikut Seksyen 59(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Hukuman sebat bermula de­ngan pesalah pertama berusia 32 tahun pada pukul 10.10 pagi manakala pesalah kedua menjalaninya pada pukul 10.16 pagi. Hukuman itu dilaksanakan secara berasingan oleh dua tukang sebat wanita daripada Jabatan Penjara Kajang dalam tempoh kira-kira seminit.

Pesalah kedua yang bertubuh kecil menitiskan air mata sewaktu dirotan manakala pesalah pertama berusia 32 tahun pula kelihatan muram selepas menjalani hukuman terbabit.

Seramai hampir 100 individu berada dalam galeri awam untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman itu. Kesemua mereka turut melalui prosedur ketat terma­suk perlu menyerahkan telefon pintar masing-masing kepada pengawal keselamatan Jabatan Kehakiman Syariat Terengganu sebelum masuk ke galeri awam.

Terdahulu, kedua-dua pesalah yang memakai baju kurung dan tudung berwarna putih menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pakar perubatan  sebelum menjalani hukuman sebatan ber­kenaan.
Sebelum disebat, mereka duduk di kerusi dan belakang tudung mereka disingkap ke bahagian leher sebelum dirotan pada bahagian belakang badan.

Sementara itu, Kamalruazmi berkata, dua wanita terbabit masing-masing dijatuhi hukuman denda RM3,300 dan enam sebatan apabila mengaku bersalah atas pertuduhan cuba me­lakukan hubungan sejenis pada 12 Ogos lalu.

Tambahnya, kedua-dua pe­salah telah membayar denda tetapi tidak membuat rayuan ke atas hukuman sebatan dalam tempoh 14 hari.

“Hukuman sebat ini bertujuan memberi pengajaran dan keinsafan kepada pesalah dan masyarakat bukan untuk meng­hukum, mencederakan mahu pun memberi azab. Saya juga berharap masyarakat tidak memandang hina dan jelik terhadap kedua-dua pesalah kerana kese­diaan mereka untuk menjalani hukuman tersebut telah menunjukkan keinsafan mereka,” katanya.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua wanita itu didakwa cuba melakukan perhubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun pada pukul 1.50 tengah hari, 8 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman ber­kenaan, jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment