Translate

Monday, September 3, 2018

Dua wanita cuba laku hubungan sejenis dihukum sebat

KUALA TERENGGANU - Dua wanita yang didapati bersalah cuba melakukan hubungan sejenis menjadi pesalah pertama menjalani hukuman sebatan di hadapan khalayak di dalam kamar Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Kedua-dua pesalah berusia 32 dan 22 tahun tersebut menjalani hukuman sebat sebanyak enam kali di hadapan Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail.
Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. dan Hakim Kanan Syarie negeri, Rosdi Harun turut menyaksikan hukuman mengikut Seksyen 59 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 30 akta tersebut.
Hukuman sebat bermula dengan pesalah pertama berusia 32 tahun pada pukul 10.10 pagi manakala pesalah kedua menjalaninya pada pukul 10.16 pagi.
Kedua-dua hukuman yang dilaksanakan tukang rotan wanita berasingan dari Jabatan Penjara Kajang itu masing-masing berlangsung dalam tempoh kira-kira seminit.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua wanita itu didakwa cuba melakukan perhubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun pada pukul 1.50 tengah hari, pada 8 April lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman berkenaan jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment