Translate

Monday, September 17, 2018

TFC I tumpas 2-3 kepada Kuala Lumpur, tetap juara kumpulan A

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club I (TFC I) muncul juara Kumpulan A Piala Malaysia biar pun tewas 2-3 kepada Kuala Lumpur pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Skuad Penyu bakal menentang naib juara kumpulan B, Felda United dalam saingan suku akhir Piala Malaysia.

Kuala Lumpur berada di depan selepas penyerang import, Guilhermer de Paula melakukan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Mohd. Suffian Rahman pada minit ke-4.

Tersentak dengan gol itu, TFC I yang ketinggalan kembali bangkit melancarkan serangan bertali arus ke kubu skuad The City Boys menerusi rangkaian penyerang, Tchetche Kipre, Donghyun Do dan Mohd. Shahrul Aizad Zukufli.

Hasilnya, sepakan lencong Donghyun dari luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gawang Kuala Lumpur, Mohd Sharbinee Allawee Ramli pada minit ke-34 untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Bagaimanapun, seminit kemudian, TFC I terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanannya, Muhammad Fazirhikwan Mat Rani dilayang kad merah oleh pengadil, J. Suresh selepas menerima kad kuning akibat mengasari ayam tambatan pasukan lawan, de Paula berhampiran kotak penalti.

Kuala Lumpur tidak mensia-siakan sepakan percuma yang diterima berikutan insiden itu dengan meledak gol kedua hasil jaringan pemain tengah import, Paulo Josue Sturmer pada minit ke-36.

Skuad Penyu kembali menyamakan kedudukan menerusi penyerang, Mohd. Shahrul Aizad yang bijak menyambar sepakan percuma arkitek TFC I, Lee Tuck pada minit ke-65.

Gol kemenangan skuad The City Boys dihasilkan de Paula yang memanfaatkan sepakan sudut pada minit ke-87. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment