Oleh MOHD. AZLI ADLAN
JURULATIH Terengganu Football Club I (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim tetap berpuas hati biarpun skuad kendaliannya tewas 2-3 kepada Kuala Kumpur pada aksi terakhir Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.
Beliau berkata, anak-anak buahnya masih mampu menyaingi skuad The City Boys walaupun terpaksa bermain dengan 10 orang lebih 50 minit pada pertemuan tersebut.
“Saya juga berpuas hati dengan prestasi Dohghyun Do (penyerang import Korea Selatan) yang memanfaatkan kepercayaan saya beri untuknya beraksi dalam kesebelasan utama malam ini (kelmarin).
“Dia bukan sahaja rajin menggerakkan serangan, malah berjaya menamatkan kemarau jaringan sejak lapan aksi sebelum ini dengan meledak satu gol,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Irfan juga berasa lega apabila TFC I masih muncul juara Kumpulan A biarpun tewas pada aksi berkenaan yang diibarat sekadar pelengkap jadual.
Pengendali berpengalaman tersebut berkata, skuad Penyu bersedia untuk menghadapi Felda United pada aksi suku akhir nanti.
“Saya akui terpaksa merehatkan beberapa pemain tonggak yang sudah mengutip dua kad kuning sebelum ini bagi mengelakkan penggantungan pada aksi suku akhir kelak sekiranya mereka menerima kad pada perlawanan ini.
“Difahamkan Perak dan Felda United juga tidak menurunkan kesebelasan utama sehingga menyebabkan kedua-dua pasukan tewas. Saya tidak tahu apa strategi mereka tetapi yang pastinya kita akan bertemu Felda United pada suku akhir nanti,” katanya.
Ayam tambatan Kuala Lumpur, Guilerme de Paula muncul wira selepas meledak dua gol untuk pelawat pada minit ketiga dan 87, manakala jaringan ketiga pelawat dihasilkan seorang pemain import, Paulo Josue Sturmer pada minit ke-36.
Bagi TFC I pula, selain sepakan lencong Dohghyun yang menerjah gawang skuad The City Boys pada minit ke-34, satu lagi gol tuan rumah disumbang penyerang, Mohd. Shahrul Aizad Zukufli pada minit ke-65.
No comments:
Post a Comment