Translate

Friday, September 14, 2018

Perpaduan kukuh negara aman


KUALA LUMPUR – Sambutan Maal Hijrah 1440H/2018M di seluruh negara semalam di­sambut sederhana namun membawa mesej penting untuk mengajak umat Islam agar memperkukuh perpaduan ummah di negara ini.

Bertemakan Me­nyantuni Umat Membawa Rahmat itu, sambutan tahun baru Hijrah disambut dengan pelbagai acara termasuk perarakan majlis sambutan Maal Hijrah selain bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah Pe­ringkat Kebangsaan 1440H/2018M di Masjid Wilayah Persekutuan di sini malam kelmarin.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Di Ipoh, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah  bertitah, umat Islam wajib memperkukuhkan semangat perpaduan sesama rakyat pelbagai agama serta kaum dalam membina kehidupan yang damai dan harmoni selain memba­ngunkan negara yang aman makmur.

Baginda juga mahu umat Islam menyelami dan menghayati semangat perpaduan yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah, begitu juga falsafah penyatuan dalam kepelbagaian yang terkandung dalam Perlembagaan negara.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berucap pada sambutan Maal Hijrah 1440H/2018M peringkat ne­geri Perak di Pusat Konvensyen Ipoh semalam.

Di Kuala Terengganu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam menjaga nikmat iman dan Islam sebaiknya dalam menangani ujian sukar berhubung usaha pihak tertentu untuk menafikan kedudukan agama itu yang dijamin Perlembagaan.

Baginda bertitah, kedua-dua nikmat yang dikurniakan Allah kepada umat Islam tersebut perlu dipelihara kerana ia akan menentukan hala tuju dan nasib mereka di akhirat kelak.

Sultan Mizan bertitah ketika me­rasmikan sambutan Maal Hijrah 1440H/2018M peringkat negeri di Stadium Negeri.

No comments:

Post a Comment