Translate

Saturday, September 15, 2018

Kerjasama Pas, UMNO direstui ahli

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pas yakin perkembangan kerjasama antara partinya dengan UMNO sebagai blok pembangkang mula diterima dan direstui oleh ahli-ahli di peringkat akar umbi di seluruh negara.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kebiasaannya, penyokong-penyokong parti tersebut memahami dan mematuhi ketetapan yang telah diputuskan oleh kepimpinan ter­tinggi parti.

Beliau berkata, kerjasama antara Pas dan UMNO berkonsepkan taawun iaitu bekerjasama pada perkara baik manakala sebaliknya pada perkara yang tidak baik.

“Kerjasama (antara Pas dan UMNO) telah dibuat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Sungai Kandis dan Seri Setia.  Setakat ini tiada gabungan rasmi namun kita tidak tahu pada masa akan datang.

“Apa-apa boleh berlaku dalam politik dan kita ambil (pendekatan) langkah demi langkah dalam kerjasama ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Maal Hij­rah 1440H/2018 peringkat Terengganu di Stadium Nege­ri di sini semalam.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas tetap dengan pendirian untuk menegakkan Islam di negara ini dan sentiasa bersikap positif terhadap mana-mana pihak yang boleh be­kerjasama dan memberi jalan untuk menjayakannya.

Sebelum ini, pemimpin Pas dan UMNO telah berkongsi pentas untuk berkempen pada PRK DUN Sungai Kandis dan Seri Setia bagi menghadapi Pakatan Harapan.

Hubungan kedua-dua parti dilihat semakin erat apabila buat pertama kalinya UMNO telah mengesahkan kehadiran pada Muktamar Tahunan Pas ke-64 yang akan diadakan di sini pada hujung minggu ini.

No comments:

Post a Comment