Translate

Friday, September 14, 2018

Kedudukan Islam dan Melayu makin tergugat cetus kerjasama Pas-UMNO

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kebimbangan tentang kedudukan Islam dan Melayu yang semakin tergugat semenjak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini mendorong Pas untuk menjalin kerjasama politik dengan UMNO.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, perubahan politik nasional tersebut didapati telah membuka ruang besar kepada pihak tertentu untuk meminggirkan Islam walaupun secara prinsipnya kedudukannya sebagai agama Persekutuan yang dijamin dalam Perlembagaan.

"Kita harus melihat realiti politik hari ini yang sangat berhajat kepada perpaduan orang Melayu dalam mempertahankan agenda Islam dan agenda bangsa.

"Penerokaan terhadap kerjasama Pas-UMNO sebagai parti pembangkang dilihat mulai bergerak positif sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Seri Setia," katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas ke-57 di sini hari ini.

Hashim berkata, perkembangan terbaharu mengikut konsep 'mutaghayirat' iaitu kerjasama yang boleh berubah mengikut keadaan semasa dan syarat digariskan pernah diambil Pas pada tahun 1970-an yang ketika itu dipimpin Allahyarham Tan Sri Asri Muda.

Menurut beliau, pembentukan kerajaan campuran Pas-Perikatan yang kemudiannya membentuk Barisan Nasional itu juga didorong oleh kedudukan Islam dan Melayu yang tergugat berikutan peristiwa 13 Mei 1969.

"Dewan Ulama Pas Pusat ketika itu dipimpin Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat telah memutuskan kerjasama Pas dengan UMNO adalah harus sedangkan hubungan Pas dan UMNO pada masa tersebut sangat tegang ekoran isu kafir-mengkafir yang telah menghumban beberapa ulama Pas ke dalam ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960). - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment