Translate

Wednesday, September 12, 2018

Pembunuh upahan, Keri Pok Jeng ditembak mati polis

MOHD. AZLI ADLAN dan MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN - Pemburuan seorang pembunuh upahan antara dikehendaki polis sejak 11 tahun lalu yang turut bertanggungjawab menembak mati bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Alias Abdullah pada tahun 2015 berakhir hari ini apabila dia ditembak mati di Felda Neram 1 dekat sini.

Keri Pok Jeng atau nama sebenarnya, Syukri Mohamad Abiah, 37, maut dalam adegan tembak-menembak dengan sepasukan anggota polis yang telah menyerbu sebuah rumah teres setingkat sedang dalam pembinaan pada pukul 4.30 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah membuat serbuan di lokasi berkenaan setelah risikan mendapati suspek bersembunyi di lokasi terbabit.

"Sebaik rumah teres setingkat itu dikepung dan anggota polis memperkenalkan diri, suspek yang berada di dalam premis itu telah nekad melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan keselamatan.

"Pasukan polis terlibat telah membalas tembakan bagi mempertahankan diri dan dua das tembakan itu mengenai kepala dan dada kiri suspek yang telah membawa kepada kematiannya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini hari ini.

Fazlisyam berkata, suspek telah diburu polis sejak tahun 2007 kerana dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya lapan kes jenayah kekerasan termasuk lima kes menembak mati mangsa-mangsa.


Beliau berkata, ia termasuk Alias yang ditembak mati di hadapan rumah mangsa di Kampung Alor Limbat, Bukit Payung, Marang pada 9 Oktober 2015. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment