Translate

Thursday, September 6, 2018

Kontinjen Terengganu sasar juara Sukma, insentif menarik menanti


MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kerajaan negeri Terengganu menawarkan insentif tambahan kepada atlet menyumbang pingat sekiranya kontinjen negeri tersebut muncul juara keseluruhan pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak yang bakal bermula Selasa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemenang pingat emas ditawarkan insentif tambahan RM3,000, pingat perak (RM2,000) dan pingat gangsa (RM1,000).

Beliau berkata, bagi meningkatkan lagi motivasi, mana-mana atlet negeri yang dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati pada Sukma tersebut juga bakal menerima ganjaran pakej mengerjakan umrah bagi beragama Islam manakala bagi bukan beragama Islam pula akan menerima insentif RM5,000.

"Kita serius untuk mencapai misi kembali merampas kejuaraan keseluruhan pada Sukma Perak kali ini seperti yang pernah dicapai pada tahun 2008 hingga 2012.

"Insentif sebelum ini iaitu ganjaran RM300 bagi pemenang pingat emas, perak (RM200) dan gangsa (RM100) masih dikekalkan," katanya ketika merasmikan majlis penyerahan bendera kepada kontinjenTerengganu di Stadium Tertutup Gong Badak di sini malam tadi.


Turut hadir Ketua Kontinjen Terengganu, Samiun Salleh dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu.

No comments:

Post a Comment