Translate

Wednesday, September 5, 2018

Tiada lagi lesen tangkap ikan kepada nelayan asing menjelang 2021

KUALA TERENGGANU – Semua lesen penangkapan ikan yang diberikan kepada nelayan laut dalam warga asing termasuk Viet­nam akan dibatalkan sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, buat masa ini hanya 40 nelayan asing dari Vietnam dan Thailand masih dibenarkan untuk menangkap ikan di perairan negara.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini telah mengeluarkan 343 permit menangkap ikan kepada 176 nelayan Vietnam dan 167 nelayan Thailand pada 2008 bagi mengatasi masalah kekurangan bilangan nelayan laut dalam tempatan dan bekalan ikan pada masa itu.

“Begitu pun, pemberian lesen itu telah dibekukan sejak Oktober 2017 ber­ikutan banyak berlaku kes penyalahgunaan sehingga menjejaskan nelayan tempatan dan sumber hasil laut negara.

“Setakat ini, 303 lesen kepada nelayan-nelayan asing itu telah dibatalkan oleh Jabatan Perikanan. Bakinya akan turut dimansuhkan secara beransur-ansur dalam tempoh dua, tiga tahun lagi,” katanya selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama pemimpin nelayan Terengganu di Pelabuhan Chendering di sini semalam.

Terdahulu, hampir 50 nelayan tempatan berhimpun secara aman memohon Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menangani masalah pencerobohan nelayan Vietnam yang telah berlarutan sekian lama.

Kumpulan nelayan tersebut mendakwa pemberian lesen penangkapan ikan kepada nelayan Vietnam telah menggalakkan kewujudan bot klon yang merupakan antara taktik digunakan nelayan asing tersebut untuk menceroboh perairan Pantai Timur terma­suk Terengganu.

No comments:

Post a Comment