Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, buat masa ini, hanya 40 nelayan asing dari Vietnam dan Thailand masih dibenarkan untuk menangkap ikan di perairan negara oleh Jabatan Perikanan.
Beliau berkata, kerajaan Persekutuan diterajui Barisan Nasional sebelum ini telah mengeluarkan 343 permit menangkap ikan kepada 176 nelayan Vietnam dan 167 nelayan Thailand pada tahun 2008 bagi mengatasi masalah kekurangan bilangan nelayan laut dalam tempatan dan bekalan ikan pada masa itu.
"Begitu pun, pemberian lesen itu telah dibekukan sejak Oktober 2017 berikutan banyak berlaku kes penyalahgunaan sehingga menjejaskan nelayan tempatan dan sumber hasil laut negara.
"Setakat ini, 303 lesen kepada nelayan-nelayan asing itu telah dibatalkan oleh Jabatan Perikanan. Bakinya (lesen nelayan asing) akan turut dimansuhkan secara beransur-ansur dalam tempoh dua, tiga tahun lagi," katanya selepas menghadiri majlis Ramah Mesra bersama Pemimpin Nelayan Terengganu di Pelabuhan Chendering di sini hari ini.
Terdahulu hampir 50 nelayan tempatan berhimpun secara aman memohon tindakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menangani masalah pencerobohan nelayan Vietnam yang telah berlarutan sekian lama.
Kumpulan nelayan tersebut mendakwa pemberian lesen penangkapan ikan kepada nelayan Vietnam telah menggalakkan kewujudan bot klon yang merupakan antara taktik digunanelayan asing tersebut untuk menceroboh perairan Pantai Timur termasuk Terengganu. - K! ONLINE