KERAJAAN Terengganu menawarkan insentif tambahan kepada atlet yang menyumbang pingat sekiranya kontinjen negeri tersebut muncul juara keseluruhan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak yang bakal bermula Selasa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemenang pingat emas ditawarkan insentif tambahan RM3,000, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,000).
Beliau berkata, bagi meningkatkan lagi motivasi, mana-mana atlet negeri yang dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati pada Sukma tersebut juga bakal menerima ganjaran pakej mengerjakan umrah bagi beragama Islam, manakala bagi bukan Islam pula akan menerima insentif RM5,000.
“Kita serius untuk mencapai misi kembali merampas kejuaraan keseluruhan pada Sukma Perak kali ini seperti yang pernah dicapai pada tahun 2008 hingga 2012.
“Insentif sebelum ini iaitu ganjaran RM300 bagi pemenang pingat emas, perak (RM200) dan gangsa (RM100) masih dikekalkan,” katanya ketika merasmikan majlis penyerahan bendera kepada kontinjen Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus kelmarin.
Turut hadir Ketua Kontinjen Terengganu, Samiun Salleh dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu.
Wan Sukairi berkata, kontinjen Terengganu menyasarkan 53 pingat emas, 32 pingat perak dan 50 pingat gangsa, sekali gus muncul sebagai juara keseluruhan Sukma 2018.
Menurut beliau, kontinjen negeri yang terdiri daripada 555 atlet akan mengambil bahagian dalam 364 acara daripada 29 disiplin sukan yang dipertandingkan pada temasya tersebut.
“Kita menyasarkan acara berbasikal, memanah, pelayaran, judo dan olahraga sebagai ‘lubuk emas’ pada Sukma Perak kali ini. Keyakinan untuk kembali merampas juara keseluruhan pada temasya ini berikutan persiapan rapi yang telah dibuat sejak dua tahun lalu sebaik Sukma Sarawak berakhir,” katanya.
No comments:
Post a Comment