Translate

Wednesday, September 5, 2018

TFC III dan TFC IV terima insentif kecemerlangan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Dua pasukan pelapis Terengganu Football Club (TFC) iaitu TFC III dan TFC IV menerima 'durian runtuh' daripada kerajaan negeri Terengganu berikutan kecemerlangan skuad masing-masing dalam saingan Piala Presiden dan Piala Belia musim ini.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, skuad TFC III menerima RM150,000 atas kejayaan menjulang Piala Presiden manakala TFC IV selaku naib juara Piala Belia pula mendapat RM50,000.

"Setiap pegawai dan pemain TFC III dan TFC IV masing-masing turut diberi bonus RM2,000 dan RM1,000 atas prestasi membanggakan pada musim ini.

"Kejayaan yang dicapai kedua-dua skuad pelapis ini membuktikan pelan pembangunan yang dilaksanakan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sejak awal musim ini telah berada pada landasan yang betul," katanya selepas menghadiri majlis kesyukuran kejayaan skuad TFC III dan TFC IV di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim.


Ahmad Samsuri yang juga Presiden PBSNT berkata, matlamat badan induk bola sepak Terengganu untuk melahirkan ramai pemain pelapis berkualiti bagi diserapkan ke skuad utama semakin tercapai berikutan pencapaian membanggakan TFC III dan TFC IV berkenaan. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment