Translate

Sunday, September 16, 2018

Kerjasama UMNO-Pas direstu parti komponen BN

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kerjasama politik antara UMNO dan Pas yang dilihat semakin erat pada masa ini mendapat restu daripada parti-parti gabungan Barisan Nasional (BN) lain iaitu MCA, MIC dan MyPPP.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua kepimpinan parti-parti komponen BN tersebut memahami kerjasama tersebut merupakan kerjasama politik yang terjalin berdasarkan kesamaan sebagai blok pembangkang.

Beliau berkata, biar pun jalinan hubungan UMNO dan Pas berlandaskan Islam dan Melayu namun jaminan telah diberi kepada parti-parti komponen BN bahawa ia tidak pernah akan mengenepikan agama dan kaum lain di negara ini.

"Biarpun ada kepimpinan MCA membuat kenyataan (seakan kurang menyenangi) tetapi mereka memahami ini adalah kerjasama politik. Saya juga kerap kali membuat perbincangan dengan kepimpinan tertinggi MCA termasuk presiden (Datuk Seri Liow Tiong Lai) dan timbalan presidennya (Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong).

"Mereka sangat matang dan bersikap rasional dan saya tidak nampak ada permasalahan timbul kalau jalinan terus diperkukuhkan antara UMNO dan Pas," katanya selepas menghadiri Muktamar Tahunan Pas Pusat di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.

Antara kepimpinan UMNO yang turut hadir pada majlis perasmian muktamar tahunan yang disempurnakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu ialah dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.


MIC yang diwakili Timbalan Presidennya, Datuk Seri S. K. Devamany turut hadir pada majlis tersebut. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment