Translate

Tuesday, September 11, 2018

Askar terkorban elak kerbau

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Kegembiraan sembilan askar bercuti di Kota Bharu, Kelantan tidak berpanjangan apabila seorang daripada mereka terbunuh manakala empat lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas ketika cuba mengelak seekor kerbau di Kilometer 409.7, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Ajil di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, Prebet Nur Shahrul  Romli, 21, yang bertugas di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan lain.Empat lagi anggota tentera yang cedera ialah Mohd. Fazrin Mohd. Aini, 23; Muhammad Aiman Abd. Wahab, 21; Wan Muhammad Firdaus Wan Yahya, 21, dan Muhamad Hasnu Nawawi, 23.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, ke­semua lima mangsa itu menaiki kereta Proton Waja manakala empat lagi rakan mereka menaiki Perodua Viva yang berkonvoi pulang ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas selepas bercuti di Kota Bahru sejak Sabtu lalu.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Waja dipandu Nur Shahrul cuba mengelak seekor kerbau yang melintas jalan namun malangnya kereta itu hilang kawalan dan terbabas.
“Kereta itu telah memasuki parit di tepi lebuh raya setinggi hampir semeter dan remuk te­ruk,” kata beliau kepada Kosmo! semalam.
Menurut beliau, kemalangan menimpa Nur Shahrul dan empat yang lain telah disedari rakan mereka yang menaiki kereta Perodua Viva yang berada di hadapan mereka.

Mohd. Adli memberitahu, sebelum kejadian, kereta Perodua Viva berkenaan juga hampir merempuh kerbau yang berada di tengah-tengah lebuh raya itu namun bernasib baik kerana sempat  mengelaknya.

“Nur Shahrul dan empat mang­sa tersepit di dalam kereta Proton Waja yang remuk teruk dan telah berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat tidak lama kemudian.

“Mayat Nur Shahrul telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat manakala empat mangsa lain yang cedera sedang di rawat di hospital sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment