Translate

Sunday, September 16, 2018

PRK PD medan erat kerjasama Pas-UMNO

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson bakal menjadi medan untuk mengeratkan lagi kerjasama yang sedang dijalin antara Pas dan UMNO.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hubungan antara dua parti dalam blok pembangkang dilihat semakin memberangsangkan menerusi PRK Su­ngai Kandis dan Seri Setia sebelum ini.

“Kalau di (PRK) Sungai Kandis kita masuk gear satu, (PRK) Seri Setia pula sudah gear tiga dan (saya jangka) (PRK) Port Dickson akan meningkat lagi.

“Peningkatan undi kepada UMNO di (PRK) Sungai Kandis dan Pas di (PRK) Seri Setia merupakan petunjuk awal,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) di Stadium Tertutup Gong Badak di sini semalam.

Turut hadir Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Pengerusi DHPP Pusat, S. Balasubramaniam.

Sehubungan itu, Abdul Hadi menjelaskan, PRK Port Dickson juga merupakan peluang kepada Pas dan UMNO untuk menjalani latihan bagi membentuk lebih persefahaman dalam menghadapi pilihan raya bersama sebagai blok pembangkang.

Menurut beliau, walaupun memutuskan tidak bertan­ding pada PRK berkenaan yang bakal ditandingi Ketua Umum Parti Keadilan Rak­yat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pas akan tetap menggerakkan jentera pilihan rayanya bagi membantu calon parti pembangkang diumumkan kelak.

No comments:

Post a Comment