DUNGUN – Seorang pesara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran dipercayai akibat dipanah petir di Kampung Gong Pasir di sini kelmarin.
Petir yang menyambar kediaman Mat Daik Mohamad, 63, yang sewaktu kejadian tiada di rumah disaksikan oleh salah seorang jirannya, Arifin Abu Bakar, 80, pada pukul 8.30 malam.
Menurut Arifin, kejadian berlaku sewaktu dia dan beberapa jemaah lain sedang berjalan pulang dalam keadaan hujan lebat apabila selesai menunaikan solat Isyak di sebuah surau berhampiran.
“Sebelum itu, bekalan elektrik di surau yang kami solat mengalami gangguan sebanyak beberapa kali akibat hujan lebat dan petir. Tiba-tiba, saya nampak cahaya kilat menyambar ke rumah jiran saya (Mat Daik) sebelum kebakaran berlaku beberapa minit kemudian,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambahnya, dia bersama beberapa jemaah lain cuba membantu untuk memadamkan kebakaran di rumah Mat Daik tetapi gagal kerana api marak dengan cepat sebelum mereka kemudiannya menghubungi pihak bomba.
Sementara itu, Mat Daik yang merupakan bekas Penyelia Hal Ehwal Murid PPD Dungun berkata, sewaktu kejadian, dia dan isterinya, Fauziah Mat, 59, tiada di rumah kerana mengerjakan solat Isyak di Masjid Pak Sabah di sini.
“Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, kami bergegas pulang tetapi tidak sempat menyelamatkan apa-apa dan kini hanya tinggal sehelai sepinggang hingga terpaksa menumpang di rumah saudara berhampiran,” ujarnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Saifuddin Muhammad berkata, kebakaran yang memusnahkan hampir 100 peratus rumah terbabit berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh dua jam.
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya pula.
No comments:
Post a Comment