Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KETIADAAN pemain import, Nurillo Tukhtasinov yang memilih meninggalkan kelab pada akhir bulan lalu memberi impak besar terhadap Terengganu FC (TFC) sehingga tumbang mengejut 0-2 kepada Penang FC pada aksi Liga Super kelmarin.
Jurulatih interim TFC, Tengku Hazman Raja Hassan berkata, kekalahan di laman sendiri sudah dijangka berikutan jentera tengah skuad kendaliannya bagaikan tidak berfungsi ekoran ketiadaan Tukhtasinov.
“Kita sudah tahu kelemahan kerana sebelum ini Nurillo (Tukhtasinov) yang biasanya mencipta gerakan dan peluang dari tengah.
“Ketiadaannya menyebabkan kita terpaksa bergantung kepada pemain-pemain muda tempatan yang bukan sahaja tidak setara dengan Nurillo, malah tidak mampu mencapai prestasi diharapkan,” katanya selepas perlawanan kelmarin.
Tengku Hazman berkata, tambah parah, TFC turut kehilangan penyerang tulen berikutan kecederaan pemain import, Yann Mabella.
Beliau yang baru sembilan hari menerajui skuad Sang Penyu berkata, tugas untuk menggempur gawang lawan terpaksa diisi Akhyar Rasid yang sebenarnya pemain sayap menyebabkan segalanya serba tidak menjadi.
“Kita juga hanya mampu menurunkan tiga pemain import ekoran masalah kecederaan sedangkan Penang mempunyai kekuatan enam import sepenuhnya.
“Apapun pemain-pemain saya telah mencuba, pada awalnya mampu bertahan dengan baik namun kesilapan mudah (penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin) membolehkan Kipre menjaringkan gol pertama yang telah mengubah segalanya,” katanya.

No comments:
Post a Comment