Translate

Friday, May 14, 2021

Rentas negeri ke Terengganu naik 25 peratus

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Kenderaan yang merentas negeri memasuki Terengganu menunjukkan trend peningkatan sebanyak 25 peratus menjelang lima hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada minggu depan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, sebanyak lebih 18,000 kenderaan terutama dari Pantai Barat telah memasuki negeri ini pada setiap hari sejak beberapa hari lalu berbanding purata kira-kira 15,000 sebelum ini.

Beliau berkata, kebanyakan individu yang merentas negeri tersebut berasal dari Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan.

“Antara alasan popular diberi untuk merentas negeri ialah urusan perniagaan, kerja, menghantar dan mengambil anak dan melawat orang tua yang uzur.

“Begitupun, banyak juga yang kita suruh berpatah balik apabila melalui (SJR) sekatan jalan raya,” katanya pada sidang akhbar di SJR Kampung Tok Saboh di sempadan Terengganu – Kelantan di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memantau sebahagian 26 jalan tikus yang terdapat di sepanjang Besut dan Pasir Puteh, Kelantan.

Roslee berkata, antara kesalahan kerap dilakukan ialah mengemukakan surat kebenaran rentas negeri lama yang sudah luput tarikh.

Jelas beliau, selain mengarahkan berpatah balik, Polis Terengganu turut mengeluarkan kompaun terhadap individu yang tegar merentas negeri tanpa kebenaran.

“Setakat ini, seramai lapan individu masing-masing telah dikompaun RM5,000 atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran tersebut.

“Pada masa sama, kita juga mengetatkan pemantauan di laluan-laluan tikus terutama 26 yang terdapat di seluruh sempadan Besut – Pasir Puteh,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment