Translate

Thursday, May 13, 2021

Dana Raya Terengganu ditukar kepada bantuan Covid-19

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Dana Raya yang menjadi tradisi pemberian kerajaan negeri Terengganu kepada penduduk negeri tersebut yang berkelayakan kini ditukar kepada bantuan Covid-19.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan Covid-19 berupa wang tunai atau barangan keperluan bernilai RM100 tersebut bakal memberi manfaat kepada 32,000 rakyat negeri ini.

“Kita tidak namakan Dana Raya sebaliknya pemberian sumbangan kepada mereka yang memerlukan pada bulan Ramadan disebabkan Covid-19.

“Kalau ditanya, memang semua orang mahukan (wang) tunai tetapi kita aturkan (barang) keperluan asasi sebagai keutamaan supaya rakyat dapat meneruskan kehidupan terutama soal makan minum pada musim pandemik (Covid-19) ini,” katanya.

Terdahulu beliau ditemui selepas menyampaikan tablet dan bantuan persekolahan kepada murid dan pelajar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, bantuan Covid-19 berkenaan disasarkan kepada 1,000 penduduk di setiap 32 DUN yang terdapat di Terengganu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang menjelaskan sebahagian penerima bantuan Covid-19 yang layak berkenaan masih sedang dikenalpasti.

Sebelum ini, kerajaan negeri Terengganu diterajui Barisan Nasional telah memperuntukkan hampir RM99 juta setiap tahun bagi pemberian Dana Raya.

Setiap isi rumah yang layak menerima RM300 hingga RM400 bagi meringankan beban mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sebaik Pas mengambil alih kerajaan negeri Terengganu pada tahun 2018, pendekatan agihan bersasar telah digunakan bagi pemberian Dana Raya itu. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment