Translate

Tuesday, May 25, 2021

Hukuman lebih berat untuk mat gian

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis negeri ini tidak akan memberi muka kepada penagih dadah dan telah merangka strategi untuk menangkap sekurang-kurangnya 800 mat gian tegar yang sering terlibat dalam kes jenayah.

Penagih tidak lagi dikenakan hukuman ringan sebaliknya akan dipenjara lima tahun dan tiga sebatan jika didapati bersalah mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, undang-undang ringan seperti dihantar ke pusat pemulihan dan berada dalam pengawasan polis dalam tempoh tertentu dirasakan bukanlah hukuman berkesan.

Katanya, penagih dadah bukan sahaja menyebabkan kerosakan pada masyarakat, malah turut mengakibatkan kadar indeks kes jenayah di negeri ini meningkat.

“Polis menyasarkan untuk menangkap 800 penagih tegar sepanjang tahun ini dan sebahagiannya terlibat dalam jenayah seperti pecah rumah, ragut, mencuri, samun dan sebagainya.

“Lebih 2,000 penagih dadah telah dikenal pasti di negeri ini dan mereka sukar dipulihkan dan ada yang mempunyai sehingga 20 rekod,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mendedahkan, Terengganu menca­tatkan bila­ngan penagih dadah paling tinggi di negara ini iaitu 916 orang bagi nisbah 100,000 penduduk diikuti Kelantan dan Pahang.

Menurut Roslee, penagih dadah bukan sahaja dibimbangi mendalangi kes jenayah, malah menghasut golongan muda.

Tambahnya, hukuman ­berat sekurang-kurangnya dapat me­­nye­kat golongan penagih tegar daripada mengganggu masyarakat dengan aktiviti jena­yah dan penyalahgunaan dadah.

“Ia telah terbukti apabila kes jenayah di negeri ini menurun pada tahun lalu selepas seramai 356 penagih tegar dijatuhi hukuman tersebut,” katanya.

Ujar Roslee, sebagai contoh, kes curi motosikal pada tahun lalu menurun kepada 153 kes.

“Pendekatan memburu penagih dadah merupakan strategi agresif bagi memulihkan imej Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Roslee berkata, polis berusaha menyekat bekalan dadah daripada masuk ke negeri ini.


“Dadah yang popular di negeri ini ialah pil kuda atau yaba yang diperoleh daripada negara jiran melalui Kelantan.

“Pada tahun lalu, kita berjaya merampas bekalan dadah bernilai RM4.19 juta. Ia peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2019 yang mencatatkan rampasan berjumlah RM2.21 juta,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Roslee berkata, semua kes kecil dan terpencil berkaitan dadah akan disiasat.

“Sebahagian kes-kes kecil yang kadangkala mangsa tidak mahu membuat laporan polis melibatkan penagih dadah.


“Jika kes kecil dan terpencil diselesaikan, kita percaya dapat menjejak penagih tegar,” katanya.

Roslee berkata, pendekatan itu menjelaskan mengapa indeks kes jenayah di Terengganu me­ningkat 12.25 peratus pada tahun lalu.

“Namun, penyelesaian kes ialah 51.7 peratus,” katanya. -K! ONLINE

No comments:

Post a Comment