Translate

Friday, May 21, 2021

Balik kampung, lepak cetus kluster

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Penularan wabak Covid-19 di Terengganu semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini biarpun negeri ini pernah diletakkan dalam kategori zon hijau dengan bilangan kes harian antara yang terendah di Malaysia.

Kes positif harian semalam bagaimanapun melonjak kepada 203 kes kekal tiga angka berturut-turut sejak Isnin lalu.

Daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Dungun kini berada­ dalam kategori zon merah, manakala Kuala Terengganu dan Kemaman pula dikategorikan sebagai zon jingga.

Hulu Terengganu yang sebelum ini menjadi satu-satunya daerah bebas Covid-19 di Semenanjung Malaysia bertukar kepada zon kuning.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) terpaksa dilaksanakan di 16 lokaliti di Besut melibatkan Seberang Jerteh, Kampung Padang Luas, Kampung Bukit Yong, Kampung Lak Lok, Kampung Alor Selinsing dan Kampung Kubang Siam mulai semalam.

Setakat ini, sebanyak 16 kluster aktif direkodkan di Terengganu termasuk Kluster Bukit Pauh, Pelagat 3, Jambu Bongkok, Gong Badak dan Lok Lak.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Nor Azimi Yunus berkata, sikap leka rakyat negeri ini dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikenal pasti sebagai punca kenaikan mendadak kes jangkitan Covid-19.

Beliau memberitahu, banyak kluster muncul di Terengganu disebabkan penganjuran majlis sosial yang tidak mematuhi SOP terutama melibatkan penjarakan fizikal.

“Antaranya kes yang dikesan adalah seramai 18 rakan melepak di sebuah rumah kosong di Setiu yang akhirnya menyebabkan 17 orang disahkan positif dengan 162 kontak rapat.

“Kluster Bukit Pauh pula berpunca daripada penganjuran ­majlis berbuka puasa melibatkan seramai 20 orang di Dungun.

“Virus itu kemudian merebak ke Kuala Terengganu disebabkan majlis moreh dan kini seramai 78 individu disahkan positif,” kata­nya dalam kenyataan di sini ­semalam.

Nor Azimi berkata, majlis berbuka puasa di sebuah surau di Marang turut mencetuskan kluster menyebabkan 26 individu positif Covid-19.

Seramai 41 orang terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan disahkan positif selepas seorang individu yang bekerja di Johor menyebarkan virus itu semasa pulang ke kampung di Dungun.

“Jabatan Kesihatan negeri juga mengesan kluster yang berpunca daripada individu yang menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur tanpa membuat penilaian risiko sehingga menyebabkan 36 orang disahkan positif Covid-19.

“Ambil iktibar kes kluster yang terjadi ini dan jangan ambil mudah kebolehjangkitan Virus Co­vid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, trend peningkatan kes di Terengganu mula dikesan di Besut dipercayai ekoran aktiviti rentas ne­geri.

“Ia berpunca daripada aktiviti rentas negeri termasuk melalui jalan tikus.

“Saya meminta polis memperketatkan kawalan di semua laluan tikus di sempadan negeri ini dan sekatan jalan raya di setiap sempadan daerah,” katanya. -K! ONLINE.

No comments:

Post a Comment