Translate

Wednesday, May 26, 2021

Pengurus dana agensi kerajaan didakwa pecah amanah

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pengurus dana Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah melibatkan amaun RM14,250 pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Saiful Nizam, 40, yang juga bekas Pengurus MARDI negeri membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Saiful didakwa melakukan pecah amanah dengan tidak menyerahkan wang deposit dan pembayaran sewa kiosk berjumlah RM14,250 kepada Bahagian Kewangan MARDI Kuala Terengganu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada bulan Januari hingga September 2019.

Mohd. Saiful didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Nur Athikah Aziz manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment