Translate

Friday, May 21, 2021

Dua nelayan dikhuatiri hilang

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua nelayan yang keluar ke laut dengan bot kelas A dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke jeti mengikut jadual pada semalam.

Tekong bot, Jaafar Sulong dan awak-awaknya yang dikenali sebagai Baharuddin, 30-an juga gagal dihubungi keluarga masing-masing sebelum kehilangan mereka dimaklumkan kepada Maritim Malaysia (APMM) hari ini.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, operasi mencari dan menyelamatkan kedua-dua nelayan tersebut telah diaktifkan pada pukul 9.40 pagi.

“Aset APMM seperti Kapal Maritim (KM) Gemia, Bot Maritim Pengawal 16 dan pesawat udara maritim AW139 telah digerakkan untuk mengesan kedudukan terkini bot dinaiki kedua-dua mangsa.

“Kita percaya bot yang dinaiki mereka telah mengalami kerosakan dan kini telah tersadai di perairan Terengganu,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, berdasarkan laporan meteorologi, cuaca di perairan Terengganu pada waktu ini adalah baik dengan tiada amaran angin kencang, laut bergelora mahupun amaran hujan berterusan dan ribut petir.

Tambah beliau, operasi mencari dan menyelamat Jaafar dan Baharuddin turut dibantu dengan aset-aset daripada Jabatan Perikanan dan komuniti nelayan tempatan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment