Translate

Friday, May 7, 2021

Terus kawal harga barang keperluan selepas Aidilfitri

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Kerajaan tidak menolak kemungkinan akan terus mengawal harga siling barangan keperluan utama selepas berakhirnya Skim Harga Maksimum Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri pada 20 Mei depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, tindakan itu perlu diambil sekiranya harga barangan keperluan seperti ayam, daging lembu dan ikan kembung pada masa itu terus melonjak tinggi.

“Kita prihatin dengan kebimbangan ramai pengguna yang risau harga barangan keperluan terutama ayam akan naik semula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

“Walaupun bukan musim perayaan, kerajaan mempunyai kuasa untuk terus mengawal harga (siling) barangan keperluan terlibat demi kebajikan pengguna,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau memantau harga barang sempena pelaksaaan fasa dua Skim Harga Maksimum Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri di sebuah pasar raya di sini.

Sebanyak 19 lagi barangan seperti bawang besar, cili kering, kelapa parut, cili merah, tomato dan kacang tanah telah dimasukkan dalam senarai barang kawalan SHMMP Hari Raya Aidilfitri fasa dua tersebut.

Dalam pada itu, Rosol memberitahu, sebanyak 203 kes kegagalan pematuhan peraturan SHMMP Hari Raya Aidilfitri direkodkan sejak 21 April lalu. -K! ONLINE

No comments:

Post a Comment