Translate

Sunday, May 30, 2021

Lelaki mengamuk tanpa motif di kedai serbaneka ditahan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki ditahan kerana tiba-tiba mengamuk dengan menyerang tiga individu termasuk dua pelanggan di sebuah kedai serbaneka di sini pada kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 2.10 petang itu, tiga mangsa terbabit termasuk seorang wanita yang juga pekerja sambilan di kedai serbaneka itu tidak mengenali dan mengetahui motif serangan suspek berusia 25 tahun tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, lelaki tersebut telah ditahan pada pukul 10 malam semalam untuk membantu siasatan mengikut Seskyen 323 Kanun Keseksaan dam Seksyen 427 akta sama.

“Dia ditahan reman selama tiga hari sehingga Isnin ini. Setakat ini, kita masih menyiasat dengan teliti motif serangan suspek termasuk kemungkinan dia mengalami masalah mental.

“Suspek didapati tidak memiliki rekod jenayah lampau selain ujian urinnya juga negatif,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Marzukhi memberitahu, siasatan awal mendapati lelaki itu merupakan salah seorang pelanggan yang kerap mengunjungi kedai serbaneka tersebut dan tidak pernah memberi masalah sebelum ini.

Tambah beliau, setakat ini, suspek telah dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebelum ini, tular rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan suspek berambut perang dan memakai baju merah dan berseluar jeans memasuki kedai serbaneka itu sebelum tiba-tiba menendang seorang pelanggan lelaki berusia 28 tahun.

Ia menyebabkan rak barangan jualan terjatuh sebelum dia menendang pula bahu kiri seorang pekerja sambilan wanita berusia 23 tahun.

Dia kemudiannya menendang seorang pelanggan lelaki lain beberapa kali sebelum membayar makanan yang dibeli lalu beredar dengan selamba. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment