Translate

Sunday, May 23, 2021

Sikap penduduk Besut gemar keluar rumah ditegur

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Polis Terengganu menegur sikap segelintir penduduk daerah ini yang masih memandang ringan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, sebahagian daripada 100,000 masyarakat daerah itu didapati masih tidak mengikut nasihat untuk mengurangkan pergerakan sebaliknya masih gemar keluar rumah walaupun untuk urusan tidak penting.

“Berdasarkan maklumat saya dapat di SJR (sekatan jalan raya), ada (individu sama) yang pagi beli telur, tengah hari beli bawang dan petang beli ayam.

“Sepatutnya sepanjang dua minggu tempoh ini, kita kena rancang pembelian barang keperluan, janganlah (beli) secara runcit-runcit,” katanya selepas mengiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memantau perjalanan SJR Seberang Jerteh di sini hari ini.

Roslee berkata, sikap tersebut sedikit sebanyak menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk memutuskan rantaian penularan Covid yang semakin mengganas di daerah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau merayu penduduk di 15 mukim di Besut agar dapat bersabar dan mematuhi sepenuhnya SOP norma baharu sepanjang pelaksanaan PKPD di daerah tersebut sehingga 4 Jun depan.

“Peningkatan kes (Covid-19) di Besut tidak reda lagi, 51 kes baharu (direkodkan) hari ini (semalam). Setakat ini sudah 14 orang meninggal dunia.

“Tanggungjawab untuk memutuskan rantaian (Covid-19) ini bukan hanya pada barisan hadapan tetapi setiap individu, kita jaga kita,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment