Translate

Friday, May 14, 2021

Penghadang jalan di laluan tikus Besut dibakar

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Respons terhadap penutupan laluan tikus di sempadan Terengganu dan Kelantan semakin ganas apabila penghadang plastik dan kawat duri yang dipasang di Kampung Gong Lapang di sini dibakar dipercayai individu tidak bertanggungjawab semalam.

Ketua Polis Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, perbuatan vandalisme terhadap penghadang jalan dan kawat duri itu telah dikesan sewaktu anggota polis melakukan rondaan pada sebelah malam.

Beliau berkata, sebelum ini beberapa penghadang jalan plastik yang di letakkan di laluan-laluan tikus di sempadan Terengganu – Kelantan telah dirosakkan dengan dibocorkan dan dibuang air yang berada di dalammya.

“Perbuatan membakar penghadang jalan plastik pada malam tadi jauh lebih ganas dan seolah-olah memberi isyarat mereka sedang memberontak berikutan penutupan laluan tikus itu.

“Sikap segelintir yang masih keras kepala dan tidak ambil kisah arahan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini amat mengecewakan dan menyedihkan pihak polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Abdul Rozak memberitahu, tindakan pantas memasang penghadang jalan konkrit di laluan tikus terlibat telah diambil pada semalam bagi mengelakkan ia dirosak atau dialihkan pada masa hadapan

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perbuatan vandalisme itu diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Besut di talian 09-6959999. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment