KUALA TERENGGANU – Polis mengesahkan telah memeriksa Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sewaktu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu melalui sekatan jalan raya (SJR) di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman pada Ahad minggu lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, Ahli Parlimen Kuala Nerus terbabit diperiksa melibatkan kebenaran merentas negeri oleh anggota keselamatan bertugas di SJR berkenaan pada ketika itu.
Begitupun, beliau enggan mengulas lebih lanjut dan memaklumkan siasatan sedang dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Ya, beliau (Mohd. Khairuddin) telah diperiksa ketika melalui SJR (R&R Perasing) pada 16 Mei lalu.
“Kes itu sedang disiasat oleh USJT Bukit Aman,” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sebelum ini, tular maklumat dalam aplikasi WhatsApp sejak Rabu lalu berhubung Mohd. Khairuddin ditahan dalam SJR Perasing, Kemaman pada 16 Mei lalu.
Dalam mesej tular tersebut, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu didakwa berada dalam kenderaan bersama seorang wanita. -K! ONLINE
No comments:
Post a Comment