Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Nasib 21 pemandu kereta sewa, penjaja dan tukang kasut di sekitar bandar raya ini mendapat simpati Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M. Rozi Bidin, kesemua penerima masing-masing mendapat bantuan wang tunai RM500 yang dilunaskan sekali bayar.
“Perincian penerima terdiri daripada 14 pemandu kereta sewa, lima penjaja dan dua tukang kasut.
“Bantuan tersebut meringankan beban mereka setelah pendapatan terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19,” katanya selepas menyampaikan bantuan tersebut di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini hari ini.
M. Rozi berkata, bantuan itu juga diharap dapat dimanfaatkan golongan tersebut untuk membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Ujar beliau, Maidam amat bersimpati dengan nasib pemandu kereta sewa, penjaja dan tukang kasut berkenaan yang amat terkesan dengan situasi ekonomi tidak menentu kini.
“Saya dimaklumkan pada hari-hari tertentu, mereka terutamanya pemandu kereta sewa langsung tidak memperoleh pendapatan harian ekoran ketiadaan pelanggan,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment