Translate

Friday, May 21, 2021

Nelayan dikhuatiri hilang di perairan Pulau Kapas

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang nelayan dikhuatiri hilang ketika menangkap ikan dengan menggunakan bot gentian kaca di perairan Pulau Kapas, Marang hari ini.

Kehilangan Wan Mohd. Sufian Wan Abdul Rahman, 34, disedari selepas kelibatnya tiada di dalam bot gentian kaca yang sedang bergerak laju di perairan tersebut pada pukul 8.30 pagi.

Pengarah Maritim Malaysia, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, mangsa dikatakan telah keluar menangkap ikan seorang diri di perairan Pulau Kapas pada pukul 6.45 pagi.

“Bot gentian kaca itu kemudiannya dilihat sedang bergerak laju tanpa kelibat mangsa oleh beberapa nelayan lain yang turut menangkap ikan pada kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

“Mereka kemudiannya menunda bot gentian kaca berkenaaan ke Jeti Kuala Ibai sebelum memaklumkan kehilangan mangsa kepada Maritim Malaysia (APMM) tidak lama kemudian,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, operasi mencari dan menyelamat dengan bantuan nelayan setempat kemudiannya menemui satu mayat lelaki tanpa identiti pada pukul 1.25 tengah hari.

Beliau berkata, pihak masih belum dapat mengesahkan sama ada mayat yang dijumpai pada kedudukan 17 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu tersebut merupakan Wan Mohd. Sufian.

“Mayat tersebut akan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat dan pengecaman daripada anggota keluarga,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment