Translate

Thursday, May 20, 2021

Angkara gurau tak kena tempat

 Oleh AZLI ADLAN

KUALA NERUS -  Tarikh 27 November 2004 pasti terpahat dalam ingatan Ahmad Bukhori Ismail, 34, apabila mata kirinya buta akibat terkena serpihan mercun bola.

Apa yang membuatkan lelaki itu terkiolan adalah kerana kejadian tersebut berpunca daripada seorang rakan sekolahnya yang dikatakan mahu bergurau dalam kejadian kira-kira seminggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Mengimbau kembali peristiwa 17 tahun lalu, Ahmad Bukhori yang kini menguruskan restoran milik keluarganya memberitahu, sebelum kejadian, dia sedang memasuki dewan peperiksaan bagi menduduki kertas 2 Pendidikan Islam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Sewaktu berjalan, sekorang rakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak membaling objek ke arah saya dan kawan-kawan lain sebelum meletup," katanya ketika ditemui di Gong Badak di sini baru-baru ini.

Difahamkan perbuatan membaling mercun bola itu adalah hanyalah gurauan dan ditujukan keapda rakan yang berada di hadapannya.

Serpihan mercun itu bagaimanapun terkena tepat pada mata kiri Ahmad Bukhori.

Impak letupan itu menyebabkan bebola mata kiri mangsa terkeluar sebelum dikejarkan ke klinik berhampiran seterusnya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dekat sini.

"Luluh hati saya apabila dimaklumkan mata kiri tidak dapat diselamatkan dan terpaksa diganti dengan mata palsu diperbuat daripada batu," katanya yang terlantar di wad hospital selama seminggu.

Ahmad Bukhori berkata, dia memerlukan masa hampir dua bulan untuk bangkit semula daripada trauma berkat sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan.

Lelaki itu juga mengambil masa bagi membiasaakan diri menjalani kehidupan dengan menggunakan sebelah mata.

"Pada mulanya, memang agak sukar untuk mengagak jarak objek hingga pernah terlanggar peti sejuk.

"Tragedi itu juga menyebabkan saya tidak dapat menduduki beberapa kertas peperiksaan namun berkat kegigihan dapat melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat sijil dalam bidang pengiklanan," katanya.

Kecacatan yang dialami Ahmad Bukhori turut menyukarkannya mencari pekerjaaan tetapi walaupun memiliki sijil sebelum memutuskan untuk memajukan restoran milik keluarga yang terkenal dengan menu bihun sup utara pada 2007.

"Walaupun sudah 17 tahun berlalu, saya akui masih terkilan kerana individu bertanggungjawab tidak pernah berjumpa atau menghubungi saya biarpun sekadar untuk memohon maaf.

"Saya juga masih trauma dan melarang tiga anak berusia dua hingga 12 tahun bermain mercun dan bunga api," katanya.

Ahmad Bukhori turut menasihatkan ibubapa agar memantau anak masing-masing agar tidak bermain mercun pada musim perayaan.'

"Kalau tidak kena pada diri sendiri, jangan aniaya orang lain," katanya.




No comments:

Post a Comment