Oleh ZULKIFLI MANSOR, MOHD. AZLI ADLAN. NORLIDA AKMAR IDROS, MUHAMMAD ZIKRI, SUBKHI SUDARJI, ROSLIZA MOHAMED dan MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
PETALING JAYA – Peningkatan mendadak golongan asnaf terdiri daripada orang miskin, ibu tunggal dan mereka yang hilang punca pendapatan bertambah hampir sekali ganda pada bulan Ramadan ini.
Selain mengharapkan bantuan zakat dan bayaran bulanan daripada pelbagai agensi berkaitan, kumpulan ini turut bergantung kepada sumber makanan yang disediakan di Gerobok Rezeki.
Gerobok Rezeki atau Food Bank biasanya disediakan di masjid dan surau-surau bagi memberi ruang kepada masyarakat yang kurang bernasib baik untuk mendapatkan barang-barang dapur.
Dianggarkan, puluhan ribu golongan asnaf dan keluarga susah telah mendapatkan bantuan barangan dapur dari Gerobok Rezeki di seluruh negara yang mencecah perbelanjaan hampir jutaan ringgit.
Pengasas Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project), Mohd. Ashraff Khan Md. Najib berkata, kehadiran bulan Ramadan tahun ini yang masih diselubungi dengan penularan pandemik Covid-19 turut menyaksikan peningkatan mendadak bilangan keluarga susah yang memerlukan bantuan.
Katanya, Gerobok Rezeki yang menyediakan pelbagai barangan dapur termasuk beras dan gula secara percuma kepada golongan memerlukan memang mendapat sambutan luar biasa sejak bermulanya Ramadan tahun ini.
Menurut beliau, sebelum Ramadan, pihaknya memuatkan pelbagai barangan bernilai RM5,000 dalam Gerobok Rezeki yang disediakan pihaknya di 120 lokasi di sekitar ibu negara.
"Pada Ramadan tahun ini, kami tambah barangan dapur sehingga bernilai RM10,000 kerana kami mendapati barangan dapur itu cepat habis. Kadangkala cuma dalam tempoh sehari.
"Barang dapur bernilai RM10,000 ini adalah fasa pertama program Gerobok Rezeki untuk Ramadan tahun ini dan ia akan ditambah selepas barang yang disediakan habis. Barang lain yang kami masukkan dalam Gerobok Rezeki di sekolah adalah alat tulis dan alat penjagaan kebersihan diri," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Mohd. Ashraff Khan berkata, tinjauan pihaknya mendapati antara punca bilangan mereka yang mengambul barangan dapur daripada Gerobok Rezeki meningkat adalah disebabkan pertambahan jumlah golongan asnaf sejak pandemik Covid-19.
Katanya, keadaan itu berlaku disebabkan terdapat peningkatan keluarga yang mengalami masalah kewangan akibat kehilangan kerja.
"Situasi itu menyebabkan mereka terpaksa mengambil barangan dapur dari Gerobok Rezeki bagi keperluan makanan terutama untuk sahur dan berbuka puasa," katanya.
Bagaimanapun katanya, Empire Project mengalu-alukan mereka yang layak mengambil barangan dapur dari Gerobok Rezeki kerana barang itu sememangnya disediakan untuk mereka.
"Mereka layak mengambil barangan tersebut, namun perlu mencatat maklumat diri dan barangan diambil dalam buku log disediakan sebagai rekod.
"Selepas itu, kita akan siasat latar belakang mereka dan jika perlu bantuan susulan, makan isu itu akan dipanjangkan kepada agensi berkaitan," katanya.
Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PEMA), Mohd. Asna Amin berkata, pihaknya menerima banyak permohonan untuk sumbangan kepada Gerobok Rezeki di masjid dan surau.
Menurut beliau, keadaan itu secara tidak langsung menunjukkan terdapat permintaan terhadap Gerobok Rezeki dalam kalangan mereka yang memerlukan semasa Ramadan kali ini.
"Secara peribadi saya rasa sedih kerana masih ramai rakyat berhadapan kesempitan disebabkan pandemik Covid-19," katanya.
No comments:
Post a Comment