Translate

Wednesday, May 19, 2021

Leka SOP, kes positif Covid-19 Terengganu naik mendadak

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kenaikan mendadak kes positif Covid-19 di Terengganu sehingga mencecah tiga angka sejak Isnin lalu adalah disebabkan kelekaan rakyatnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu ditetapkan.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Nor Azimi Yunus berkata, banyak kluster Covid-19 muncul di negeri tersebut disebabkan penganjuran majlis sosial yang tidak mematuhi SOP terutama melibatkan penjarakan fizikal.

“Saya kongsi beberapa kisah kluster tersebut yang menunjukkan SOP ke laut (tidak dipatuhi). Antaranya, seramai 18 kawan melepak di rumah kosong di Setiu, akhirnya 17 orang disahkan positif dan 162 kontak rapat.

“Kluster Bukit Pauh pula berpunca daripada penganjuran majlis berbuka buka seramai 20 orang di Dungun. Ia kemudian merebak pula ke Kuala Terengganu disebabkan majlis moreh dengan kini 78 individu telah disahkan positif dan 496 kontak rapat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Azimi menambah, majlis berbuka puasa di sebuah surau di Marang pula telah mencetuskan kluster yang menyebabkan 26 individu disahkan positif Covid-19 manakala 283 orang lain pula dikenalpasti sebagai kontak rapat.

Beliau berkata, senario tersebut amat membimbangkan dengan kes positif Covid-19 harian di Terengganu dijangka tetap melebihi 100 kes pada hari-hari mendatang selain 14 pesakit kini kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.

Sehubungan itu, beliau memohon agar rakyat Terengganu benar-benar akur dengan tidak menganjurkan sebarang majlis sosial sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment