Translate

Wednesday, May 5, 2021

1,500 pelajar UMT pulang beraya mulai lusa

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menguruskan kepulangan 1,500 pelajarnya ke kediaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri mulai lusa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Madya Dr. Hafiz Zakariya berkata, kepulangan pelajar tersebut akan dilakukan secara berperingkat sehingga 12 Mei depan.

“Seramai 600 pelajar UMT akan pulang beraya ke rumah masing-masing dengan menggunakan perkhidmatan bas yang diuruskan pengurusan universiti.

“Pelajar terlibat akan menaiki bas yang disediakan mengikut zon kawasan kediaman masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan baki 650 pelajar UMT lain pula akan pulang ke kampung masing-masing untuk beraya sama ada dengan kenderaan sendiri mahu pun dijemput penjaga mereka.

Tambah beliau, seramai 250 pelajar pula memilih untuk kekal tinggal di dalam kolej kediaman di dalam kampus untuk menyambut Aidilfitri yang dijadual, Khamis depan.

“Kepulangan semula 1,500 pelajar yang memilih beraya di rumah masing-masing ke kampus UMT di sini pula dijadual antara 16 hingga 20 Mei depan.

“Penghantaran pulang pelajar dan kepulangan semula mereka ke kampus mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat sepertimana yang diarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment