Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan lagi dua bot nelayan Vietnam yang menangkap ikan secara di perairan negera semalam.
Kedua-dua bot nelayan asing itu ditahan ketika sedang leka menangkap ikan pada kedudukan 75 dan 76 batu nautika dari perairan dari timur laut Kuala Terengganu dekat sini pada pukul 5 pagi.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Rahim berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua bot nelayan Vietnam berkenaan tidak memiliki permit menangkap ikan yang sah daripada Jabatan Perikanan.
“Kesemua 17 nelayan Vietnam itu juga didapati tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Muhammad Suffi berkata, dua bot, peralatan menangkap ikan, hasil laut dan minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM3 juta telah disita.
Tambah beliau, kesemua rampasan itu telah ditunda ke Jeti Maritim Terengganu untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963. Pemantauan di perairan negara akan diperketatkan walaupun pada sambutan Hari Raya Aidilfitri esok.
Setakat ini, 12 bot nelayan Vietnam telah ditahan kerana mencerobohi perairan Terengganu sejak awal Ramadan lalu. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment