Translate

Wednesday, May 26, 2021

Aktiviti rentas negeri sumbang 90 kes positif di Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Aktiviti rentas negeri untuk pulang beraya baru-baru didapati telah menyebarkan virus Covid-19 kepada sekurang-kurangnya 90 individu di Terengganu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Mokhtar berkata, setakat ini, seramai 40 orang telah positif Covid-19 di Kuala Terenggganu, Hulu Terengganu (26 orang) dan Kemaman (24 orang) disebabkan aktiviti aktiviti rentas negeri tersebut.

“Balik (kampung) dari zon merah senyap-senyap akhirnya satu keluarga positif (Covid-19).

“Seramai 13 orang rentas negeri di Kuala Terengganu dengan pelbagai alasan akhirnya 40 disahkan positif, sembilan orang rentas negeri di Hulu Terengganu menyebabkan 26 positif manakala 24 orang positif kerana aktiviti rentas negeri oleh lapan individu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Azimi berkata, selain aktiviti rentas negeri, peningkatan Covid-19 di Terengganu sejak akhir-akhir ini turut disumbang oleh majlis sosial seperti ziarah raya, berbuka puasa, tadarus yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.

Jelas beliau, majlis-majlis sosial itu dilakukan secara sembunyi-sembunyi di kawasan kampung sebelum akhirnya berbongkar apabila seorang demi seorang yang menyertainya didapati positif Covid-19.

“Pelanggaran demi pelanggaran (SOP) berlaku dan hasilnya kita nampak sekarang dengan kes (Covid-19) dan kematian naik berkali ganda.

“Ramai lagi yang langgar SOP. Walaupun pahit kena akui hakikat kita turut sama penyumbang kepada kenaikan kes ini,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment