Translate

Tuesday, May 4, 2021

Pertandingan pelita raya Terengganu bermula Khamis ini

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Pertandingan pelita raya yang sinonim dengan Terengganu menjelang malam tujuh likur akan diteruskan pada tahun ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) normal baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata, pertandingan hiasan pelita raya itu akan bermula pada Khamis ini.

Beliau menjelaskan, oleh kerana negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19, format pertandingan ini diubahsuai bagi mematuhi SOP normal baharu ditetapkan.

“Pertandingan pelita raya terbahagi kepada dua kategori iaitu peringkat daerah yang diadakan di Perkampungan Budaya Terengganu, Losong di sini.

“Setiap wakil lapan daerah di negeri ini akan diberi tanggungjawab untuk menghias rumah tradisional yang terdapat di Perkampungan Budaya Terengganu itu dengan rekaan pelita raya,” katanya ketika ditemui pada program ‘Moreh bersama Media’ di sini semalam.

Ariffin berkata, kategori kedua pula terbuka kepada kampung-kampung di negeri ini yang hendak mengambil bahagian.

Menurut beliau, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung yang mengambil bahagian boleh menghantar penyertaan dengan memuat naik gambar dan video hiasan pelita raya rekaaan mereka menerusi media sosial Jabatan Pelancongan Terengganu.

“Hiasan pelita raya yang unik dan memenuhi kriteria ditetapkan akan memenangi pelbagai hadiah menarik,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment