Translate

Monday, May 31, 2021

Muara pembunuh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN dan KHAIRULMIZAN YAHYA 

KUANTAN – Lebih 10,000 nelayan di Pahang dan Terengganu terus dibelenggu masalah muara cetek yang memaksa mereka melabuhkan bot pada jarak 50 meter dari persisir pantai hingga ada yang mati ketika cuba berenang untuk pulang segera ke jeti.

 Lebih memenatkan apabila kebanyakan nelayan perlu me­nunggu lebih lima jam di tengah laut dalam keadaan panas terik atau hujan sehingga air surut sebelum boleh berenang.

 Masalah itu didakwa telah berlarutan lebih 30 tahun lalu.

Ia berlaku kepada lebih 600 nelayan terutama di Sungai Ular, Sungai Balok dan Sungai Cherating kerana kebanyakan bot tidak boleh sampai ke muara kerana air yang cetek.

Nelayan Kampung Sungai Ualar di sini sudah bosan dengan masalah tersebut kerana bukan sahaja membahayakan nyawa mereka, malah terpaksa pula mengangkut hasil laut naik ke darat.

Kebimbangan itu ada asasnya kerana pada awal bulan lalu seorang nelayan, Mohd. Shahrudin Rameli, 25, ditemui mati lemas ketika cuba berenang ke pantai.

Seorang nelayan, Rusmina Mahusin, 62, berkata, masalah muara cetek seolah-olah tiada penyelesaian walaupun telah diajukan kepada pihak berkuasa.

"Setiap kali air surut, bot tidak dapat melalui muara kerana air terlalu cetek jadi nelayan yang pulang dari laut tidak dapat masuk ke jeti dan terpaksa melabuhkan bot di luar.

"Ada nelayan yang terpaksa bermalam di dalam bot kerana bimbang bot tersadai di pantai jika air surut," luahnya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi nelayan, Rosmadi Idin, 37, berkata, nelayan mengambil inisiatif menggunakan sampan kecil digelar jongkong.

"Nelayan perlu mengambil jongkong terlebih dahulu sebelum melabuhkan bot untuk pulang ke pantai namun setakat ini hanya ada tiga jongkong.

"Jongkong hanya mengelak nelayan berenang tetapi tidak menyelesaikan masalah," katanya.

Sementara itu di KUALA TERENGGANU, sebahagian besar daripada 14 muara sungai cetek terus menjadi 'duri dalam daging' kepada nelayan.

Sejak 2017, seramai enam nelayan dilaporkan lemas ekoran bot yang dinaiki mereka karam di muara.

Tiga daripada mangsa masih belum ditemui sehingga hari ini.

Antara muara sungai yang terjejas ialah Sungai Merang, Setiu; Sungai Merchang, Marang; Sungai Paka, Dungun; dan Sungai Kertih, Kemaman.

Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu, Mat Yassin Mohamed berkata, selain membahayakan nyawa, masalah itu mengakibatkan nelayan kerugian ribuan ringgit kerana perlu membaiki bot rosak.

"Bot akan tersadai di muka kuala sungai berjam-jam sebelum boleh masuk ke pengkalan apabila air pasang," katanya.

Katanya, masalah itu menyebabkan ramai nelayan enggan turun ke laut hingga menjejaskan pendapatan dan hasil ikan menjunam setiap tahun.

"Sebagai contoh, Pelabuhan Chendering hanya menaikkan 1,334 tan metrik berbanding 13,682 tan metrik pada 2013.

"Bukan itu sahaja, nelayan berdepan dengan pencerobohan nelayan Vietnam dan musim tengkujuh," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah, Andasura Rabu berkata, kos mendalamkan sungai terlalu tinggi.

"Syarikat konsesi pun tidak mahu ambil pasir," katanya.

No comments:

Post a Comment