Translate

Thursday, May 13, 2021

Seludup mercun ke Besut guna jalan tikus

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Helah dua lelaki termasuk seorang remaja disyaki penyeludup cuba membawa masuk bekalan mercun ke daerah ini dengan menggunakan jalan tikus gagal apabila ditahan polis di Kampung Jebak Puyuh, Jerteh di sini semalam.

Kedua-dua suspek yang berusia 17 dan 40 tahun ditahan bersama lori dinaiki mereka yang penuh dengan muatan mercun pelbagai jenis pada pukul 3.45 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pemeriksaan menjumpai 20 jenis mercun dianggarkan bernilai keseluruhan kira-kira RM80,000 dan ia merupakan rampasan mercun terbesar di Terengganu sepanjang bulan Ramadan ini.

“Siasatan awal mendapati bekalan bahan mercun pelbagai jenis yang sebahagian besarnya merupakan mercun bola itu dibawa masuk dari Thailand menerusi negeri jiran.

“Modus operandi mereka untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) di sempadan Terengganu – Kelantan ialah dengan melalui laluan tikus,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, dua suspek termasuk seorang yang masih bersekolah tingkatan lima menggunakan taktik kononnya mahu menghantar bekalan makanan ke daerah ini.

Tambah beliau, bekalan mercun yang diseludup itu diletakkan di bawah longgokan kotak selain dua rakan sekampung itu juga menutup lori mereka dengan kain kanvas bagi mengaburi mata pihak berkuasa. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment