Translate

Tuesday, May 18, 2021

Kaedah terbaik fahami subjek sukar



Oleh MOHD. AZLI ADLAN, NOR IDAYU BOSRO, RAJA JAAFAR ALI dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

PUTRAJAYA - Kira-kira 2.04 juta pelajar sekolah menengah di seluruh negara memulakan sesi persekolahan secara bersemuka bermula semalam dan hari ini.

Berdasarkan laman web Kementerian Pendidikan, jumlah pelajar tersebut membabitkan 2,445 buah sekolah menengah di seluuruh negara.

Daripada keseluruhan enrolmen mengikut jantina, kira-kira 1,022,184 merupakan pelajar lelaki manakala baki 1,017,961 adalah pelajar perempuan dengan penglibatan kira-kira 177,756 guru di seluruh negara.

Empat negeri yang memulakan persekolahan semalam ialah Johor, Terengganu, Kelantan dan Kedah sementara negeri lain memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka hari ini.

Sementara itu, tinjuan Kosmo! di empat negeri semalam menunjukkan pihak pentadbiran sekolah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Semua pelajar memakai pelitup muka selain memeriksa suhu badan sebelum memasuki kawasan sekolah dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Di Kuala Terengganu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam, Zaliha Mat Jusoh berkata, pihaknya mendapatkan bantuan dua anggota polis selain meletakkan beberapa orang guru di pintu utama sekolah bagi memantau pergerakan pelajar.

"Tiada masalah dalam pematuhan SOP di kawasan sekolah pada sebelah pagi seperti merekodkan kedatangan pelajar serta penjarakan fizikal di dalam kelas.

"Pelajar juga dilepaskan secara berperingkat dan kita akan perbaiki lagi memandangkan ini adalah hari pertama," katanya.

Seorang bapa. Shaari Mamat yang ditemui pula berkata, kesiapsiagaan pihak sekolah telah menyakinkannya untuk menghantar anaknya ke sekolah walaupun pada awalnya bimbang virus Covid-19  akan menular dalam kalangan pelajar dan guru sekolah berkenaan.

"Saya lihat semua berjalan lancar. Jika ada pun kekurangan seperti kesesakan di luar sekilah mungkin boleh diatasi tidak lama lagi.

"Seperti kebanyakan ibu bapa, saya pada mulanya juga ragu-ragu namun selepas tengok usaha pihak sekolah menjaga keselamatan pelajar, saya rasa tiada masalah," ujar bapa kepada enam anak itu.

Dalam pada itu, pelajar tingkatan 1, Abhiram Baburaj, 13, berkata, dia telah mula melakukan persiapan persekolahan sejak seminggu lalu dan telah bersiap untuk ke sekolah sejak pukul 6 pagi.

"Saya sangat gembira dan teruja dapat pergi ke sekolah, sudah setaun lebih tak dapat belajar dalam kelas selepas kerajaan lakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Hari ini dapat jumpa dengan kawan-kawan baharu, dapat jumpa cikgu baharu, belajar secara bersemuka lagi seronok berbanding belajar dalam talian," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi pelajar,  Nurin Aqilah Balqis Mohd. Nizam, 15, berharap pandemik Covid-19 segera berakhir agar semua pelajar tidak tertinggal dalam pelajaran sehingga menjejaskan masa hadapan mereka.

Sementara itu, di Kota Bahru, rata-rata pelajar SMK Raja Sakti menganggap peluang kembali sekolah sebagai satu kaedah terbaik untuk memahami semula subjek-subjek penting yang ketinggalan sebelum ini.

Nik Alia Nik Azmi, 16, berkata, dia mengakui pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak sembilan bulan lalu menyukarkannya untuk memahami beberapa subjek penting.

Katanya, dia gembira apabila dapat bersemuka dengan guru dan rakan sekelas namun perlu akur dengan situasi semasa memandangkan kes Covid-19 di daerah ini makin membimbangkan.

"Meskipun Kementerian Pendidikan membenarkan sesi persekolahan dibuka, ia tidak bermakna kita perlu alpa dengan SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

"Kelonggaran ini memerlukan kami sebagai pelajar untuk membiasakan diri untuk belajar dengan norma baharu," katanya ketika ditemui di sini semalam.

No comments:

Post a Comment